DISEMBER 2022

Program Ukur Tanah NCR Inisiatif Baharu Berterusan


KUCHING: Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu berjaya mengukur lebih kurang 1,060,811 hektar (2,621,264 ekar) secara perimeter sehingga 31 Oktober 2022.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lebih kurang 813,587 hektar (2,010,373 ekar) daripadanya telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. 

"Pewartaan bagi baki kawasan yang telah diukur secara perimeter akan dilaksanakan secara berterusan," katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan itu memberitahu, sejak tahun 2017, fokus pengukuran juga ditumpukan kepada pengukuran lot-lot individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut tanah tersebut.

"Sehingga 31 Oktober 2022, sebanyak 58,606 lot individu berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 74,181 hektar (183,301 ekar) yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri," jelasnya.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, penuntut tanah hendaklah hadir semasa pengukuran di lapangan, menandakan sempadan tanah dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan lancar. 

“Ini bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR ini,” katanya.

Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan kelangsungan program ini dan akan terus menyediakan dana yang diperlukan di samping dana yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan," ujarnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti